Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Khamis, 21 Oktober 2010

::pesanan dari seorang sahabat.ii ::

بسم الله الرحمن الرحيم

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله[1]

Maksudnya : Kamu (umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang diutuskan kepada manusia untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.

Wahai sahabatku!

Sesungguhnya telah kuperkatakan pesanan dan nasihat kepada dirimu dahulu supaya menjaga adab-adabmu ketika belajar, maka pada kali ini inginku memperkatakan kepada mu tentang tujuan ku memberi pesanan dan nasihat seperti itu kepadamu.

Wahai sahabatku!

Telah kusebutkan dahulu kepadamu tentang semua perkara mesti mempunyai niat dan tujuannya tersendiri, maka termasuk diriku juga mempunyai niat dan tujuanku tersendiri yang menyebabkan aku ingin memberi pesanan dan nasihat seperti itu kepadamu. Aku menasihati dirimu dengan perkara itu bukan untuk menunjukkan diriku lagi baik dari dirimu bahkan sesungguhnya dirimu lagi mulia dari diriku yang selalu lalai kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya niat dan tujuanku adalah untuk kebaikan dirimu jua dan tiada sedikit pun kebaikan untuk diriku melainkan untuk melihat dirimu menjadi seorang yang bertaqwa serta menjadi semulia-mulia makhluk disisi Allah s.w.t.. Aku telah terbaca tentang satu golongan yang aku ingin kita menjadi seperti itu yang telah disebut oleh Allah s.w.t. tentang golongan itu didalam firmanNya :

إن أكرمكم عند الله أتقاكم[2]

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa.

Taqwa itu merupakan satu perkara yang akan mengangkat dirimu menjadi orang yang mulia disisi Allah s.w.t.. Taqwa itu dapat kita tafsirkan dengan maksud takutnya kita kepada Allah s.w.t. dalam semua perkara yang kita lakukan sama ada baik mahu pun jahat, bersih mahu pun kotor, dan ma’ruf mahu pun mungkar. Sesungguhnya taqwa itu juga kita akan dapatinya dalam perkataan yang lain seperti khashyah ((خشية dan lain-lain lagi. Tetapi pada kali ini ingin aku menyeru kepada diriku dan dirimu supaya bertaqwa kepada Allah s.w.t. yakni dengan perasaan khashyah ((خشية kepadaNya.

Wahai sahabatku!

Aku menyeru dirimu supaya mempunyai perasaan takut kepada Allah s.w.t. dalam setiap perkara bukan kerana aku ingin menghinamu ataupun ingin mengatakan dirimu tidak pernah takut kepada Allah s.w.t., tetapi kerana aku ingin dirimu menjadi orang yang mulia darjatnya disisi Allah s.w.t. dan juga tidak mengulangi kesilapan diriku yang telah banyak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.. Aku telah berfikir bagaimanakah caranya untuk menjadikan dirimu serta diriku mencapai taraf takwa dan tidak menjadi orang yang lalai dengan keduniaan, maka aku telah menemuinya dalam firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

إنما يخشى الله من عباده العلماء[3]

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang paling takutkan Allah dikalangan hambaNya ialah ulama’.

Allah s.w.t telah berfirman dengan mengatakan bahawa orang yang paling bertaqwa didalam kalangan kita sebagai hamba Allah adalah ulama’. Jadi ulama’ yang bagaimanakah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t didalam firmanNya itu? Kerana seperti yang engkau ketahui bahawa ulama’ terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama pernah disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w didalam sabda baginda iaitu :

العلماء ورثة الأنبياء. إن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما, وإنما ورثوا العلم.[4]

Maksudnya: Bahawa para ulama’ itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya para Nabi tiada mewariskan ummatnya wang ringgit, tetapi mereka mewariskan ummatnya dengan ilmu.

Mereka yang disebutkan oleh Rasulullah ini adalah merupakan pewaris Nabi yang mana mereka telah mewarisi harta pusaka Nabi yakni ilmu pengetahuan kerana Nabi Muhammad s.a.w. tidak mewariskan kepada kita dengan harta tetapi dengan ilmu pengetahuan. Manakala golongan yang kedua pula yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. didalam sabda baginda ialah:

أنا من غير الدجال أخوف عليكم من الدجال, فقيل : ما هو رسول الله؟ فقال : علماء السوء.[5]

Maksudnya : Selain daripada Dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal, lalu ada orang bertanya : apakah itu wahai Rasulullah? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab : Ulama su’ yakni ulama yang jahat.

Jadi mengapakah Rasulullah s.a.w. begitu takutkan golongan yang kedua ini lebih daripada Dajjal? Ini kerana kalau kita ketahui bahawa Dajjal ini sudah jelas niatnya iaitu ingin menyesatkan manusia, sedangkan ulama’ su’ ini kita tidak dapat mengenalinya serta tidak mengetahui niatnya kerana perkataannya adalah seperti perkataan ulama’ dan perwatakannya juga seperti perwatakan ulama’.

Wahai sahabat yang ku kasihi!

Aku telah sebutkan kepadamu tentang dua golongan ulama’ yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w. didalam hadisnya. Sesungguhnya golongan yang pertama merupakan golongan yang diredhai oleh Allah dan rasulnya, sedangkan golongan yang kedua merupakan golongan yang tidak disukai oleh Allah dan rasulnya. Adalah diriku yang fakir ini menginginkan kebaikan tercurah ke atas dirimu, maka ketahuilah wahai sahabatku! Sesungguhnya golongan yang pertama itulah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. didalam firmanNya itu. Mereka itu merupakan pewaris kepada kekasihNya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang mana sesiapa yang menjadi pewarisnya akan dicintai oleh Allah s.w.t.. Maka jadikanlah dirimu itu menjadi ulama’ warathatul anbiya’ supaya engkau mempunyai kedudukan yang tinggi di sisiNya serta dijadikan engkau sebagai semulia-mulia makhluk kerana hanya dengan menjadi ulama’ warathatul anbiya’ yang akan membuatkan engkau bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Wahai sahabatku!

Telah aku perkatakan kepadamu bagaimanakah cara untuk dirimu menjadi orang yang mulia di sisi Allah s.w.t. yakni dengan menjadikan dirimu seperti ulama’ warathatul anbiya’ yang mewarisi harta pusaka Nabi Muhammad s.a.w. iaitu ilmu pengetahuan. Tetapi wahai sahabatku, sesungguhnya untuk menjadi seperti itu bukanlah mudah seperti mengucapkannya kerana ramai orang-orang terdahulu telah kecundang didalam mencapai taraf itu.

Wahai sahabatku!

Sesungguhnya diriku ini tidak ingin melihat dirimu kecundang didalam mencapai darjat itu. Ketahuilah wahai sahabatku! Sesungguhnya apabila engkau ingin menjadi Ulama warathatul anbiya’, maka engkau mestilah mempunyai ilmu yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan apakah ilmu yang diredhai oleh Allah s.w.t itu? Itulah ilmu yang berkat kerana hanya ilmu yang berkat sahaja yang akan mendapat petunjuk dari Allah s.w.t. Sesungguhnya jika engkau belajar ini bukan kerana Allah s.w.t tetapi kerana dunia maka engkau telah menzalimi Allah s.w.t. dan apabila engkau telah berlaku zalim maka Allah s.w.t. tidak akan memberi petunjuk kepadamu sebagaimana firmanNya :

والله لا يهدى القوم الظالمين[6]

Maksudnya : Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Wahai sahabatku yang ku kasihi!

Hendaklah engkau menjauhi daripada memiliki ilmu yang tidak berkat kerana ilmu yang tidak berkat tidak akan memberi manfaat kepada dirimu diakhirat nanti bahkan akan menyusahkan dirimu. Jadi bagaimanakah untuk engkau ingin mendapatkan ilmu yang berkat itu, maka hendaklah engkau mematuhi adab-adab ketika menuntut ilmu kerana itulah yang akan menghasilkan ilmu yang berkat yang telah aku perkatakan dahulu tentang adab-adabnya itu.

Wahai sahabatku!

Telah diriku yang jahil dan fakir ini memberitahu kepadamu tentang cara-cara yang akan memuliakan dirimu dihadapan Allah s.w.t. maka kuharapkan engkau mengamalkan apa yang aku perkatakan ini kerana ia memberi manfaat yang besar kepadamu. Sesungguhnya ini adalah nasihat dan peringatan dari diriku kepadamu wahai sahabatku… Ketahuilah! Aku menasihati dirimu seperti ini adalah kerana diriku yang dhaif dihadapan Allah s.w.t ini mengasihi dan menyayangi dirimu sebagaimana aku mencintai dan menyayangi diriku sendiri seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. :

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه[7]

Maksudnya : Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

Ya Allah Ya Tuhanku! Kuatkanlah kami Ya Allah, Teguhkanlah hati-hati kami Ya Allah,

Sebagaimana Engkau telah kuatkan hati-hati para kekasihMu, para pejuangMu dan para nabi dan rasulMu Ya Allah! Ya Rahman, kukuhkanlah ikatan perhubungan kami. Ya Rahim, kekalkanlah perhubungan kami. Ya Rabbal Maghfirah, redhakanlah perhubungan persahabatan ini. Ya DzalJalali wal Ikram, himpunkanlah kami bersama-sama kekasihMu Nabi Muhammad s.a.w. Amin Ya rabbal ‘alamiin.

والله أعلم

[1] Surah Ali Imran : ayat 110

[2] Surah Hujurat : ayat 13

[3] Surah Fathir :ayat 28

[4] Hadis ini diriwayatkan daripada Anas seperti yang tersebut di dalam kitab Al Jami’ As-Shaghir, riwayat Ahmad dan lain-lain.

[5] Hadis riwayat Ahmad dari Abu Dzar r.a dengan sanad yang baik.

[6] Surah Al Jumuah : ayat 5

[7] Matan Arba’in : Imam Nawawi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

::sepanjangnya..:

"pelayaran kita pasti akan ketemu daratan..bahtera kita mungkin berbeza tapi tetap sama..menuju daratan yang hanya miliki dua perlabuhan sama ada..syurga/neraka..menang/syahid..tewas/mati sia-sia..itulah kepastian yang sepatutnya kita persiapkan......."

::ukhuwah lillah abadan abada::

::ukhuwah lillah abadan abada::

::dakwah itu indah::

::dakwah itu indah::

Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

powered by blogger

1 : :