Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Ahad, 20 Februari 2011

::wo ai ni Rasulullah...::

"...sesungguhnya...hati ini sangat merindui Rasulullah....."

Ada satu kisah dimana selepas wafatnya Rasulullah, seorang sahabat Rasulullah..Bilal Bin Rabah yang sangat mencintai Rasulullah dan sangat merindui Rasulullah..sehinggakan beliau tidak lagi mengazankan solat. Hal yang demikian adalah kerana beliau berkata.."aku hanya mengazankan solat ketika Rasulullah ada".
Betapa rindunya Bilal pada Rasulullah sehinggakan beliau tidak dapat tinggal lagi di Madinah kerana semua kenangan bersama Rasulullah begitu menusuk ke hatinya. Bilal merasakan seakan-akan tidak boleh bernafas kerana terlampau sedih tidak dapat berjumpa Rasulullah.
Beliau berhijrah ke tempat lain bagi menghilangkan kepedihan selepas Rasulullah wafat. Setelah beberapa lama kemudian, Saidina Umar yang pada masa itu seorang khalifah telah datang ke tempat dimana Bilal tinggal. Kemudian, sahabat-sahabat yang lain menyuruh Bilal mengazankan solat. Namun, Bilal tetap menolak. Akan tetapi akhirnya Saidina Umar menyuruh beliau mengalunkan azan. Bagi menghormati Saidina Umar, Bilal mengazankan solat pada hari itu. Namun azan pada hari itu adalah azan yang paling syahdu. Apabila tiba "asyhadu an-na Muhammadar Rasulullah...", Bilal tidak dapat mengawal lagi perasaannya. Air mata bercucuran. Maka para sahabat yang lain pun turut menangis mendengar azan tersebut.
Dan diceritakan juga, di akhir hayat Bilal Bin Rabah, ketika sakaratul maut, isterinya melihat dia dalam kesakitan tetapi mukanya tersenyum seolah-olah bergembira dengan kesakitan itu. Maka isterinya bertanya tidakkah Bilal tengah dalam kesakitan tetapi masih boleh lagi tersenyum. Bilal pun menjawab.."Ya..aku sakit..tetapi aku gembira kerana selepas ini aku akan bertemu kekasihku (Rasulullah S.A.W)..."

sahabat-sahabat sekalian..adakah cinta kita pada Rasulullah seperti itu???
"...Rasulullah...Rasulullah...Rasulullah....sollu 'alaih...."

Isnin, 7 Februari 2011

::الدعوة بالقرآن و تفسيره::

بسم الله الرحمن الرحيم

وَ إِذْ قَالَ مُوْسَى لِقَوْمِهِ إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوْا بَقَرَةً قَالُوْا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا قَالَ أَعُوْذُ بِاللهِ أَنْ أَكُوْنَ مِنَ الْجَاهِلِيْنَ (67)

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لّنَا مَا هِيَ قَالَ إِنَّهُ يَقُوْلُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لاَّ فَارِضٌ وَلاَ بِكْرٌ عَوَانٌ بَيْنَ ذَلِكَ فَافْعَلُواْ مَا تُؤْمَرُوْ (68)

قَالُوْا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا لَوْنُهَا قَالَ إِنَّهُ يَقُوْلُ إِنّهَا بَقَرَةٌ صَفْرَاءُ فَاقِعٌ لَّوْنُهَا تَسُرُّ النَّاظِرِيْنَ (69)

قَالُوْا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشَابَهَ عَلَيْنَا وَإِنَّآ إِنْ شَاءَ اللهُ لَمُهْتَدُوْنَ (70)

قَالَ إِنَّهُ يَقُوْلُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لاَّ ذَلُوْلٌ تُثِيْرُ الْأَرْضَ وَلاَ تَسْقِي الْحَرْثَ مُسَلَّمَةٌ لاَّ شِيَةَ فِيْهَا قَالُوْا الْآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ فَذَبَحُوْهَا وَ مَا كَادُوْا يَفْعَلُوْنَ (71)

وَ إِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا فَادَّارَأْتُمْ فِيْهَا وَاللهُ مُخْرِجٌ مَّا كُنْتُمْ تَكْتُمُوْنَ (72)

فَقُلْنَا اضْرِبُوْهُ بِبَعْضِهَا كَذَلِكَ يُحْيِي اللهُ الْمَوْتَى وَيُرِيْكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُوْنَ (73)

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوْبُكُم مِّنْ بَعْدِ ذَلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً وَ إِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ وَ إِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاء وَ إِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ وَ مَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُوْنَ (74)

Latar belakang ayat :

Ayat ini adalah ayat dari Surah al-Baqarah yang diturunkan di Madinah ketika Haji Wida’. Surah ini dinamakan Surah al-Baqarah bersempena dengan kisah lembu betina yang Allah perintahkan agar Bani Israil menyembelihnya untuk mengesan seorang pembunuh. Kisah tersebut berdasarkan ayat 67-73. Ayat ini juga memperlihatkan kekuasaan Allah menghidupkan apa yang telah mati. Selain itu dari kisah ini juga timbul beberapa masalah fiqh yang boleh dikaitkan dengannya. Kemudian, ayat 74 pula menerangkan tentang kekerasan hati kaum Yahudi ( Bani Israil ) dalam menerima kebenaran.[1]

Huraian ayat :

Perintah Untuk Menyembelih Lembu Betina

Hal ini terjadi ketika dizaman Nabi Musa. Setelah menerangkan beberapa nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada Bani Israil dan beberapa pula pelanggaran mereka akan janji Allah, kemudian mereka juga telah dihukum oleh Allah kerana melanggar perjanjian, sesudah itu, mereka telah diberi kesempatan oleh Allah untuk mereka terus hidup dan memperbaiki diri serta berjalan di landasan yang benar, sekarang Allah mengemukakan lagi satu kisah yang berlaku pada mereka tentang urusan menyembelih lembu betina .

Asal usul perintah untuk menyembelih lembu betina itu diturunkan ialah terjadinya satu kisah tentang pembunuhan yang terjadi dikalangan Bani Israil.

Marhum dari Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ahmad Bin Sirin, dari ‘Ubaid al-Salmani menceritakan bahawa : “Ada seorang hartawan dikalangan Bani Israil, dia seorang yang mandul dan tidak mempunyai anak. Maka dia menjadikan anak saudaranya sebagai pewarisnya. Anak saudaranya itu membunuh hartawan yang merupakan bapa saudaranya tadi. Apabila tiba waktu malam dia meletakkan mayat tersebut dihadapan pintu sebuah rumah. Pada keesokkan harinya, anak saudara hartawan tersebut menuduh pemilik rumah berkenaan membunuh bapa saudaranya. Kemudian terjadilah peperangan diantara dua suku kaum tersebut. Maka telah datang orang cerdik pandai berkata : Mengapa kalian harus bunuh membunuh padahal disini ada Rasul Allah.

Selepas itu, mereka menemui Nabi Musa lalu mengadukan kejadian tersebut. Kemudian Nabi Musa memerintahkan agar menyembelih seekor lembu.


وَ إِذْ قَالَ مُوْسَى لِقَوْمِهِ إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوْا بَقَرَةً
"Dan (ingatlah) seketika berkata Musa kepada kaumnya : Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyembelih seekor lembu betina. " (pangkal ayat 67). [2]

Perintah tersebut telah menerangkan dengan jelas tentang penyembelihan lembu betina. Jika mereka tidak keras kepala nescaya perintah itu dapat dilaksanakan ketika itu juga kerana padang rumput mereka banyak berkeliaran lembu betina. Namun mereka bertukar fikiran dengan memandang rendah kepada Nabi Musa.


قَالُوْا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا
"Mereka berkata : Apakah akan engkau ambil kami ini jadi permainan ?"


Mereka memandang enteng kepada perintah tersebut. Mereka berkata sekarang mereka tengah mencari penyelesaian pembunuhan tetapi disuruh pula menyembelih lembu betina. Mendengar kata-kata mereka nabi Musa berkata :


قَالَ أَعُوْذُ بِاللهِ أَنْ أَكُوْنَ مِنَ الْجَاهِلِيْنَ
"Dia berkata berlindung aku kepada Allah daripada jadi seorang di antara orang-orang yang bodoh. " (hujung ayat 67).

Jika mereka tidak banyak bertanya tentang jenis lembu tersebut, tentunya mereka dapat melaksanakan perintah itu dengan mudah. Namun, disebabkan mereka banyak bertanya, Allah memberatkan syarat-syarat untuk lembu berkenaan . Lalu, mereka pun mendapatkan lembu yang cukup syarat-syarat tersebut yang hanya ada pada seorang lelaki.

Ketika ditanya harganya, lelaki si pemilik lembu menjawab, “Aku tidak akan menerima barang kecuali ditimbang lembu itu dengan emas”, maka mereka terpaksa membelinya, kemudian disembelih lembu tersebut dan dipukulkan bahagian anggota lembu itu pada badan si mayat. Si mayat hidup kembali dan mereka pun bertanya, “Siapakah yang telah membunuhmu?” , jawab mayat tersebut, “Ini,” sambil menunjuk ke arah anak saudaranya sendiri. Lalu mayat itu kembali mati. Sejak itu, pembunuh tersebut tidak lagi dapat mewarisi harta daripada bapa saudaranya yang dibunuhnya itu. (Riwayat Ibn Abi Hatim, Ibn Jarir)[3]

Marhum daripada riwayat lain mengatakan, Assuddi berkata, ada seorang dari Bani Israil yang kaya. Dia mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak saudara lelaki yang miskin. Anak saudaranya itu meminang anak permpuannya, lalu ditolak pinangannya itu oleh bapa saudaranya.pemuda tersebut marah lalu berkata : “Demi Allah aku akan bunuh bapa saudaraku, kemudian aku ambil hartanya dan aku akan mengahwini anaknya”

Ketika pemuda itu mengetahui ada pedagang baru tiba disitu, dia mengajak bapa saudaranya untuk menemui pedagang berkenaan. Maka keluarlah bapa saudaranya itu bersama pemuda tersebut. Ketika sampai didaerah suku kaum lain, pemuda tersebut membunuh bapa saudaranya sendiri.

Kemudian, pemuda tersebut terus balik ke rumah dan apabila waktu pagi pemuda tersebut berpura-pura mencari bapa saudaranya. Lalu, pemuda tersebut terjumpa mayat bapa saudaranya di daerah suku kaum lain dan menuduh mereka membunuh bapa saudaranya. Sampailah pengkhabaran kejadian tersebut kepada Nabi Musa. Nabi Musa menyuruh suku kaum tersebut membayar diyat (denda). Namun, suku kaum tersebut menolak sambil berkata, “Ya Rasul Allah, mintalah supaya Tuhan menjelaskan siapakah pembunuhnya yang sebenar. Demi Allah soal untuk membayar denda terhadap kami adalah ringan bagi kami, tetapi malu jika kami dituduh pembunuh,”.

Berkata Nabi Musa, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kalian menyembelih lembu”.

Jawab mereka, “Kami bertanya padamu tentang siapakah pembunuh mangsa ini, tiba-tiba kau menyuruh kami menyembelih lembu, apakah kau sengaja mempermainkan kami?”.

Jawab Nabi Musa, “Aku berlindung kepada Allah, janganlah aku tergolong daripada golongan orang-orang bodoh,”.

Berkata Ibn Abbas r.a. ; Andaikan ketika itu mereka terus melaksanakan perintah tersebut, tentunya telah selesai tanggungjawab mereka, tetapimereka menyulitkan lagi dengan syarat-syarat pada lembu berkenaan dengan menyuruh Nabi Musa bertanya pada Allah.

Setelah itu mereka pun mencari lembu betina sebagaimana yang dikehendaki. Kemudian, mereka telah mendapatkannya daripada seorang pemilik lembu yang satu-satumya. Setelah itu mereka memukulkan kulit lembu itu pada mayat. Tiba-tiba, mayat tersebut hidup kembali, lalu mereka bertanyakan tentang pembunuh yang membunuhnya. Mayat itu menunjukkan anak saudara lelakinya yang membunuhnya.

Demikianlah Allah menunjukkan kebesaranNya dan kekuasaanNya yang mutlak untuk menghidupkan segala apa yang telah mati.

Ayat 74 dalam surah ini pula menceritakan tentang kekerasan hati kaum Yahudi. Walaupun orang-orang Yahudi melihat tanda-tanda mukjizat dan nasihat, namun mereka angkuh dan enggan menerima kebenaran. Keangkuhan dan kekerasan hati seumpama batu, malah lebih keras lagi. Peluang dan kesempatan untuk mengambil iktibar terbuka luas, namun sebaliknya orang-oarng Yahudi bertambah degil, sombong dan terus melakukan kerosakan. Allah SWT sentiasa memerhati, menghitung dan mencatatkan segala perbuatan mereka, kemudian Allah membalasnya berdasarkan amalan tersebut. Ini adalah satu amaram dan ancaman yang amat tegas kerana firman Allah :

عَمَّا تَعْمَلُوْنَ

“…berdasarkan apa yang kamu lakukan”

Kaitan ayat dengan ayat sebelumnya :

Hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya ialah bahawa pada ayat sebelumnya Allah menyebutkan sebahagian daripada kejahatan yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi seperti mungkir janji, melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu, takabbur serta ingkar beramal dengan ajaran kitab Taurat. Justeru ayat ini merupakan penerusan dalam menjelaskan keburukan mereka, iaitu menentang para Rasul dan berlengah-lenngah dalam mematuhi perintah Allah S.W.T.[4]

Mesej utama :

Kisah ini memberi pengajaran akibat dari keburukan dan kejahatan kaum Yahudi (Bani Israil) yang degil serta ingkar dengan perintah Allah. Antara pengajaran penting yang terdapat dalam ayat tersebut ialah :

1. Sikap melampau dalam beragama di samping kerenah banyak bertanya kerana degil dan sinis, tidak disukai dan tidak digalakkan. Oleh kerana itu, Allah melarang kita daripada memperbanyak pertanyaan ketika al-Quran diturunkan. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW riwayat al-Bukhari dan Muslim ;

“....Tiga perkara yang sangat dibenci Allah yang kamu lakukannya ; banyak mulut, banyak bertanya (kerana degil) dan membazirkan harta (membuang duit)”

2. Perintah menyembelih lembu, dan bukan binatang-binatang lain adalah kerana al-‘ijil atau anak lembu ialah binatang sembahan mereka. Motifnya ialah untuk meremehkan perkara yang mereka puja dan agung-agungkan.

3. Sikap sinis mereka, selain suka mempersenda-sendakan perintah nabi menyebabkan mereka dicela, diselar dan dihukum dengan seksaan.

4. Menghidupkan yang telah mati untuk menghukum mati pembunuh yang masih hidup menyerlahkan bukti kekuasaan Allah SWT untuk menciptakan sesuatu secara berlawanan atau secara luar biasa. Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT menyebut bahawa Dia telah menghidupkan orang yang telah mati pada lima tempat :

1. Ayat 56 ; “Kemudian Kami membangkitkan kamu sesudah kamu mati,”

2. Ayat 73 ; “Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu,”

3. Ayat 243 ; “Lalu Allah katakana pada mereka matilah kamu, kemudian Allah menghidupkan mereka,”

4. Ayat 259 ; “Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiar tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkannya semula,”

5. Ayat 260 ; “Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk yang sudah mati,”

5. Kecaman keras ditujukan terhadap perbuatan membunuh orang yang tidak bersalah. Perkara ini disebut lewat sedikit, iaitu disebut selepas menerangkan sikap orang-orang Yahudi yang mempermainkan dan mengingkari kebenaran semata-mata untuk memberi penekanan tentang perkara keji, serta buruknya sikap angkuh dan degil. Di samping menimbulkan keghairahan untuk mengetahui punca sebenar perintah Allah untuk menyembelih lembu berkenaan. Sikap degil dan angkuh memang merupakan sifat semulajadi orang-orang Yahudi.

6. Tidak ada ungkapan kekesalan yang lebih tajam dan pedih dari menganggap batu-batu lebih baik dan lebih berguna dari hati budi orang Yahudi.

7. Kisah lembu tersebut menjadi dalil bahawa syariat orang terdahulu boleh diterima pakai oleh kita. Pendapat ini adalah pegangan majoriti ulama usul fiqh kecuali Imam Syafi’e.

8. Imam Malik menerima kesahihan sumpah al-qasamah (disisi jumhur ulama ialah wali mangsa bersumpah bagi mensabitkan tuduhan membunuh keatas penjenayah), daripada pengakuan orang yang dibunuh. Contohnya, mangsa berkata sebelum mati “Darahku pada orang itu, atau orang itu telah membunuhku,”. Walau bagaimanapun as-Syafi’e dan jumhur ulama tidak menerimanya kerana pengakuan orang yang dibunuh (dalam saat kritikal sebelum mati) adalah satu pemakluman dan ini kemungkinan benar atau sebaliknya.

9. Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Segala yang diciptakan oleh Allah mempunyai faedah masing-masing. Sekiranya makhluk yang derhaka akan dibalas setimpal dengan apa yang dilakukannya didunia. Allah akan mengazabnya dineraka jahannam pada hari akhirat kerana keengganan mereka menerima kebenaran dan tidak mentaati perintah-perintah Allah SWT.[5]

10. Masalah fiqh boleh didapati berkisar dari ayat 67-71. Ayat yang menjelaskan tentang sifat-sifat lembu betina ini telah disebut secara umum dan dijadikan dalil yang menunjukkan sahnya jual beli secara tempahan (Baiu’s Salam). Pendapat ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sahih Bukhari dan Muslim.

Kaitan dengan isu semasa :

Pada era globalisasi kini, banyak berlakunya fitnah. Ianya mempunyai kesamaan dengan cerita Bani Israil ini. Jika kita lihat terlampau banyak kes-kes yang berkaitan dengan fitnah. Fitnah disini bermaksud menuduh orang lain melakukan kesalahan padahal kita tahu kebenarannya. Hal yang demikian, kebiasaannya terjadi untuk mencapai kepentingan diri. Contohnya, ahli politik kini yang banyak melakukan penyelewengan namun menuduh orang lain supaya nama tidak tercemar.

Jadi, orang ramai perlulah membuka mata melihat dan mengkaji kebenarannya sendiri. Kadang-kala, orang yang melakukan fitnah ini semata-mata sengaja untuk menimbulkan propaganda bertujuan menjatuhkan orang lain. Selain itu, kita perlu ingat bahawa fitnah adalah lebih buruk daripada membunuh. Oleh yang demikian, siasatlah dahulu kebenaran sesuatu berita yang kita terima sebelum kita menyebarkannya. Bayangkanlah betapa sengsaranya orang yang difitnah.

Seterusnya, kita dapat lihat banyaknya kes pembunuhan yang terjadi disebabkan ingin mewarisi harta secepatnya. Hal yang demikian terjadi kerana kurangnya iman dan didikan Islam dalam diri. Sepatutnya, setiap individu perlu diterap didikan bi’ah Islamiyyah agar kes-kes seperti ini tidak terjadi lagi. Oleh kerana itu, pihak berwajib perlu mengatur langkah melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya tanpa mempersoalkan lagi kenapa Allah memerintahkan agar melaksanakan undang-undang Islam.

Hikmah dan pengajaran ayat :

1. Kisah kedegilan kaum Bani Israil ini sepatutnya dijadikan sebagai tauladan. Kita perlulah mentaati Allah dan Rasul tanpa perlu mempersoal lagi tentang perintah yang telah diberikan. Contohnya, perintah wajib berpuasa di bulan Ramadhan. Kita perlu melaksanakan terus perintah tersebut tanpa mempersoalkan kenapa bulan Ramadhan bulan wajib berpuasa, kenapa bulan lain tidak.

2. Selain itu, jangan menuduh orang lain yang tidak bersalah. Jika kita berbuat kesalahan sepatutnya kita mengaku kesalahan tersebut. Kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa melihat kita. Walaupun orang lain tidak nampak akan kesalahan kita, kita perlu berasa takut bahawa Allah sentiasa memerhati kita. Hal yang demikian juga akan menimbulkan sifat ehsan dalam diri setiap individu.

3. Kemudian, yakinlah bahawa Allah akan membangkitkan kita setelah kita mati di Padang Mahsyar nanti. Sedangkan Allah telah membuktikan bahawa Allah mempunyai kuasa untuk menghidupkan semula melalui kisah-kisah seperti ini. Mengapa masih ada lagi yang tidak percaya pada hari kebangkitan walhal kita tahu ianya adalah benar. Sesungguhnya apa yang diturunkan Allah dan rasul-rasulnya adalah benar dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Wallahu a’lam.



[1] Dr.Wahbah al-Zuhaily, Tafsir al-Munir Juz 1(2001 : 67)

[2] Tafsir Ibn katsir

[3] Tafsir Ibn Katsir

[4] Tafsir al-Munir

[5] Tafsir al-Munir

[6] Tafsir Ibn Katsir

 

::sepanjangnya..:

"pelayaran kita pasti akan ketemu daratan..bahtera kita mungkin berbeza tapi tetap sama..menuju daratan yang hanya miliki dua perlabuhan sama ada..syurga/neraka..menang/syahid..tewas/mati sia-sia..itulah kepastian yang sepatutnya kita persiapkan......."

::ukhuwah lillah abadan abada::

::ukhuwah lillah abadan abada::

::dakwah itu indah::

::dakwah itu indah::


Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

powered by blogger

</div> <div class="mobile-date-outer date-outer"> </div>
</div></div> <div class="date-outer">

<div class="date-posts">
</div></div>

&rsaquo;

1 : :